Menghadapi situasi ini, peranan DMDI adalah amat penting. Organisasi ini boleh menjadi platform yang efektif untuk mengangkat isu-isu geopolitik yang memberi kesan kepada komuniti Melayu-Muslim minoriti. Namun sayangnya, dalam pelbagai pertemuan termasuk Konvensyen DMDI 2024 di Singapura, perbincangan mengenai cabaran politik dan budaya jarang dibangkitkan.
Fokus lebih banyak diberikan kepada aspek sosial dan ekonomi semata-mata. Persoalannya: adakah DMDI sengaja mengelak daripada membicarakan topik sensitif ini demi menjaga hubungan dengan negara-negara yang menempatkan komuniti minoriti tersebut? Atau adakah kerana kurangnya perhatian terhadap dimensi geopolitik telah menyebabkan peranan DMDI menjadi kurang berkesan?
Dari sudut pandang psikososial, kehilangan bahasa dan budaya boleh menyebabkan komuniti minoriti merasa terasing serta kehilangan identiti. Bahasa adalah teras pembentukan rasa kebersamaan dan identiti kolektif. Apabila bahasa dipinggirkan, lebih-lebih lagi dalam suasana tekanan politik dan sosial, individu dalam komuniti tersebut mudah mengalami krisis identiti.
Oleh itu, DMDI tidak cukup hanya menumpukan kepada isu sosial dan ekonomi, sebaliknya harus menyentuh ranah politik dan budaya untuk benar-benar memberikan perlindungan dan advokasi buat komuniti Melayu-Muslim minoriti.
Justeru, DMDI perlu memperbaharui strategi dan agendanya. Pertama, isu-isu geopolitik mesti dijadikan sebahagian yang tidak terpisah dalam wacana dan program DMDI. Kedua, menjalin kerjasama dengan organisasi antarabangsa yang menumpukan kepada hak asasi manusia dan pemeliharaan budaya boleh mengukuhkan suara mereka di pentas global. Ketiga, pembangunan program pemeliharaan bahasa dan budaya seperti pusat kajian bahasa Melayu dan aktiviti budaya harus diperkukuh agar identiti ini terus hidup. Akhir sekali, kempen kesedaran dan pendidikan awam mengenai pentingnya bahasa dan budaya adalah kunci supaya warisan ini tidak hilang di tengah arus pemodenan.
DMDI mempunyai potensi besar untuk menjadi benteng perjuangan dan suara kolektif bagi komuniti Melayu-Muslim minoriti yang selama ini terpinggir. Menyuarakan nasib mereka bukan lagi sekadar satu pilihan, tetapi sudah menjadi satu keperluan agar organisasi ini terus relevan dan memberi impak nyata dalam era yang penuh cabaran ini.
Catatan Akhir
Pada 23 hingga 26 Oktober akan datang, DMDI akan mengadakan Konvensyen Antarabangsa ke-23 di Jakarta. Harapan yang digalas oleh DMDI adalah bahawa organisasi ini hanya akan benar-benar bermakna sekiranya DMDI meletakkan geopolitik sebagai tonggak utama dalam membina tamadun Melayu dan tamadun Islam dalam erti kata yang substantif.
Jika acara DMDI hanya menjadi pertemuan tahunan biasa, maka DMDI tidak lebih sekadar seperti “arisan”. Sekali lagi, marilah kita renungkan makna dan tanggungjawab di sebalik nama Dunia Melayu dan Dunia Islam.(*)
Dr. Irwandi (Pensyarah Universiti Islam Negeri (UIN) Bukittinggi/Aktivis Diplomasi Sivil- E-mail: irwandi@uinbukittinggi.ac.id)